Aug 8, 2010

DENDA RM1 JUTA ULANGI SALAH GUNA SIJIL, LOGO HALAL - BERITA HARIAN 28/07/2010
SUBANG JAYA: Peniaga yang menyalahguna sijil dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan didenda RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya dan meningkat kepada RM1 juta serta 10 tahun penjara jika mengulangi kesalahan sama, mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 (Pindaan 2010).

Syarikat yang melakukan kesalahan sama juga dikenakan denda RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan seterusnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pindaan akta itu secara dasarnya diluluskan pada peringkat kementerian dan akan dikemukakan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat sebelum dibawa ke Parlimen, Oktober ini.
Beliau berkata, pindaan itu juga memperuntukkan hanya satu logo halal daripada JAKIM digunakan berbanding tujuh logo halal, termasuk dikeluarkan syarikat pengeluar swasta ketika ini.

Katanya, walaupun Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diberi kuasa pada peringkat negeri untuk mengeluarkan sijil halal, kementerian sudah memutuskan hanya logo JAKIM dikeluarkan bagi mengelak sebarang kekeliruan di kalangan pengguna Islam.

Pindaan terutama membabitkan penambahan hukuman sedia ada bertujuan memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba menyalahguna sijil dan logo halal, sekali gus menjamin kesucian makanan dan produk kegunaan umat Islam.

Kementerian juga sudah meluluskan secara dasar bahawa pindaan itu bukan hanya membabitkan makanan, sebaliknya sebarang produk termasuk kosmetik yang mempamerkan logo halal dan kita yakin penguatkuasaan pindaan akta ini bermula awal tahun depan, katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek pembinaan rumah Casabella @ GrandVille USJ One milik Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH) di USJ 1 di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Koperasi UKHWAH, Datuk Rahim Baba. Koperasi UKHWAH menerusi syarikat pemaju hartanahnya, Cabaran Subang Sdn Bhd, membina projek perumahan mewah membabitkan 60 unit banglo tiga tingkat berharga antara RM2.5 juta hingga RM5.8 juta bagi setiap unit.

Mengenai rungutan sukar mendapatkan sijil halal JAKIM, Ismail Sabri berkata, JAKIM tidak boleh dipersalahkan jika pihak berkenaan perlu melalui peraturan ketat, termasuk pemeriksaan di lapangan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails